PENAMPANG: Kepulan asap tebal yang menjulang tinggi hingga dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer memenuhi ruang udara apabila sebuah pusat servis motosikal dua tingkat di Castrol Bike Point, di sini, terbakar pagi tadi.
Pegawai Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohammad Hannis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi pada jam 11.22 pagi sebelum operasi pemadaman segera dilaksanakan.
“Kebakaran membabitkan satu blok kedai motor jenis kekal berkeluasan kira-kira 113.8 meter persegi dan dianggarkan 85 peratus struktur premis musnah.
“Setibanya pasukan bomba, api sedang marak dan asap tebal memenuhi ruang bengkel,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Turut berada di lokasi ialah pegawai kanan Zon BBP Kota Kinabalu, Riki Mohan Singh.
Beliau berkata, pasukan bomba melaksanakan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan lima pancutan air.
“Sumber air diperoleh daripada jentera water tanker serta pili bomba berhampiran dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari.
“Tindakan pantas anggota berjaya menghalang api daripada merebak ke bangunan lain,” katanya.
Operasi membabitkan 32 pegawai dan anggota dari BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan dengan bantuan PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Air.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pemeriksaan akhir masih dijalankan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“Operasi pemadaman masih diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X