Search

Rampasan minyak masak subsidi RM1.57 juta, sindiket bungkus semula untuk pasaran luar negara terbongkar

January 10, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk pasaran luar negara terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) merampas barangan bernilai RM1.57 juta dalam satu operasi di Batu 1/2, di sini, tengah hari semalam.

Serbuan jam 12.35 tengah hari itu dilaksanakan menerusi Op Taring Landai Khas Kontraban/Operasi Bersepadu Inter Agensi, hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin Sandakan.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Superintendan Jaffri Bidin berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah gudang di kawasan berkenaan mendapati terdapat aktiviti mencurigakan sedang berlangsung.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan kegiatan pembungkusan semula minyak masak bersubsidi kepada minyak masak eksport tanpa permit yang sah, dipercayai untuk diseleweng ke pasaran luar negara.

“Operasi itu melibatkan sebuah lori kotak dan dua lori tangki, selain penemuan ratusan kotak minyak masak di lokasi.

“Seorang lelaki warga Pakistan yang berada di gudang berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, rampasan melibatkan 516 kotak minyak masak jenama Burung Puyuh dan 410 kotak jenama Mimosa, selain dua lori tangki serta sebuah lori, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM1,576,402.00.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat dan bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“PPM Wilayah Empat Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya. – Info X