Search

Ratusan penghuni The Shore gempar, kebakaran di tingkat lima

July 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ratusan penghuni kondominium di The Shore, di sini, gempar apabila berlaku kebakaran di tingkat lima kawasan parkir bangunan berkenaan, awal pagi tadi.

Penghuni terdiri daripada pelancong tempatan dan luar negara bertindak pantas keluar menyelamatkan diri sebaik terdengar bunyi siren kecemasan, sebelum diarahkan mengosongkan premis oleh pihak pengurusan bangunan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan serta Penampang digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.58 pagi.

Sebahagian penghuni kondominium The Shore, keluar menyelamatkan diri selepas berlaku kebakaran di kawasan parkir di tingkat lima bangunan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan barang-barang pembinaan di tingkat lima kawasan tempat letak kereta.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sistem salur bantu mula di dalam bangunan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dua lelaki dilaporkan terperangkap dalam lif ketika kebakaran berlaku namun berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS selepas mengalami sesak nafas, namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Kebakaran dianggarkan memusnahkan 20 peratus daripada keluasan kawasan parkir terbabit,” katanya.

Dua pelancong warga korea menerima rawatan selepas terperangkap dalam lif di bangunan berkenaan.

Katanya lagi, api berjaya dikawal pada jam 3.25 pagi, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.33 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, operasi membabitkan seramai 17 anggota bomba dengan kekuatan tiga jentera termasuk Unit Motosikal Bomba (RIM).

Turut membantu operasi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity (SE). – Info X