LAHAD DATU: Tiga penjawat awam antara lima lelaki ditahan manakala sejumlah dadah dirampas dalam operasi Op Tapis di Taman Harapan, Jalan Silam, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu merampas dadah jenis syabu, air ketum, ubat batuk serta senjata berbahaya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 0.41 gram, 224 liter air ketum serta 8.20 liter ubat batuk.
“Turut dirampas senjata berbahaya iaitu sebilah pedang samurai dan enam bilah parang.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM11,655.40,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala empat lagi negatif.
“Semua suspek berusia 24 hingga 38 tahun direman dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini,” katanya. – Info X