Search

RECARLY SHAVENLEY DINOBAT JUARA LITTLE GLAM KAAMATAN 2022

May 29, 2022

admin

KOTA KINABALU: Peserta cilik kelahiran Tambunan, Recarly Shavenley Roger, 12, dinobatkan juara Pertandingan Little Glam Kaamatan 2022.

Keyakinan serta kepetahan Recarly bertutur dalam bahasa ibunda Kadazandusun ketika sesi pengenalan berjaya memukau juri sekaligus menewaskan 40 peserta lain.

Dianjurkan pusat beli-belah Centre Point, Recarly turut memenangi persembahan terbaik sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan seperti mahkota, trofi, selempang, hamper dan wang tunai.

Berlangsung pada 21 Mei lalu, naib juara dimenangi oleh Melody Chia, 9, dari Kota Kinabalu manakala, tempat ketiga dimenangi peserta asal Penampang, Joy Crystal Han, 11.

Pertandingan yang diadakan sempena sambutan Pesta Kaamatan berkenaan turut menyaksikan peserta dari daerah Papar, Queenvania Prescilya, 12, dimahkotakan sebagai Miss Popular selain Pakaian Terbaik dimenangi Melody Chia, 9, asal Kota Kinabalu.

Ketua Pasukan Pemasaran-Acara Pusat Beli-belah Centre Poin, Dymna Michael berkata, program berkenaan mula dianjurkan sejak dua tahun lalu namun hanya dibuat secara dalam talian ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, selaras situasi negara yang berada dalam fasa peralihan ke endamik, pihak pengurusan mengambil peluang untuk mengadakan pertandingan sama secara fizikal di kawasan Palm Square pusat beli-belah ini.

“Pertandingan tahun ini menyaksikan penyertaan peserta perempuan berumur seawal 3 hingga 12 tahun bersaing untuk merebut gelaran juara,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dymna menyatakan peserta masih turut bersaing merebut satu lagi gelaran khas iaitu Anugerah Media Sosial di mana orang ramai boleh mengundi peserta kegemaran mereka secara dalam talian.

Menurutnya, pengumuman pemenang akan dibuat pada 30 Mei depan di halaman laman sosial, Facebook rasmi Leading Management. – Info X