Search

WANITA MAUT DIBUNUH TEMAN LELAKI ANAK

May 29, 2022

admin

SANDAKAN: Seorang wanita warga asing
ditemui maut dengan kesan kelar pada leher dipercayai dibunuh teman lelaki anaknya dalam kejadian di Apartment Taman Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal polis mendapati
wanita warga Indonesia berusia 59 tahun berkenaan tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 25 tahun.

“Suspek yang juga kekasih anak mangsa dikatakan datang ke rumah mereka pada jam 5.50 petang sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek kemudiannya dipercayai bertindak mengelar bahagian leher mangsa mengakibatkan wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anak perempuan mangsa pula cedera ringan di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fuad menyatakan
suspek seorang warga tempatan berusia 31 tahun selepas kejadian sudah menyerah diri di Balai Polis Sandakan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, suspek kini ditahan reman dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HDOK untuk bedah siasat, ” katanya. – Info X