SIPITANG: Lelaki warga emas dilaporkan hilang ketika keluar ke kebunnya semalam di Kampung Ulu Sipitang ditemui selamat, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, lelaki berusia 81 tahun berkenaan ditemukan sekitar jam 6.30 pagi di kawasan Jalan Katipoh ladang kelapa sawit pada jarak kira-kira tiga kilometer dari kebunnya.
“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 malam.
“Sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Mengikut laporan awal, mangsa warga emas terbabit dipercayai hilang selepas keluar membersihkan kawasan kebun miliknya.
“Pasukan bomba terus melakukan pencarian dalam keluasan radius satu kilometer sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada jam 10.30 malam sebelum disambung semula pagi tadi.
“Operasi disambung semula membabitkan keluasan radius tiga kilometer sebelum berjaya ditemui selamat.
“Mangsa ditemui selamat oleh penduduk kampung di kawasan Jalan Katipoh Ladang Kelapa Sawit, dekat sini.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada keluarga dan operasi ditamatkan pada jam 7.26 pagi,” katanya. – Info X