KOTA BELUD: Polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian membelasah seorang remaja berusia 19 tahun secara beramai-ramai, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian kira-kira jam 1.30 pagi di bulatan Kampung Pirasan-Melaga-Lentiggi, di sini.
Beliau berkata, polis turut mengesan rakaman video pergaduhan berkenaan yang tular di media sosial.
“Susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menahan dua lelaki kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian.
“Tiga lagi lelaki ditahan dalam operasi susulan kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu, menjadikan keseluruhan lima suspek ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Shah berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 26 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham dalam kalangan sekumpulan individu yang dikaitkan dengan aktiviti mat rempit.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan setiap individu dalam kejadian itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke IPD Kota Belud bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti mat rempit, khususnya perbuatan menyalahi undang-undang serta mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini.
“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya. – Info X