Search

Sewa kereta untuk kegiatan jenayah, dua lelaki dicekup polis

October 20, 2026

Info X Reporters

RANAU: Taktik dua lelaki dipercayai menyewa kereta dari Penampang untuk kegiatan jenayah terbongkar selepas mereka ditahan bersama barang disyaki curi dan peralatan pecah rumah di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan anggota Balai Polis Ranau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki mereka menemukan pelbagai barangan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kereta digunakan kedua-dua suspek adalah kenderaan yang disewa dari daerah Penampang.

Katanya, pemeriksaan terhadap kereta berkenaan yang disaksikan pemandunya menemukan 10 keping tembaga, sebilah parang, dua pemotong besi, satu playar muncung tirus, satu playar pengunci serta dua pasang sarung tangan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud.

“Semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan satu kesalahan trafik.

“Suspek kedua pula mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta enam rekod kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan pembabitan kedua-dua suspek dalam kes pecah rumah serta jenayah harta benda lain yang berlaku di sekitar daerah Ranau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 22A dan Seksyen 18(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat di daerah berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X