KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypss, berhampiran Suria Inanam, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohammad Rham Mohammad Nasir, 19, yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC daripada rumahnya di Kampung Kalansanan menuju ke tempat kerja di City Mall, Jalan Lintas.

Katanya, setiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan melalui jalan lurus dan lampu isyarat masih warna hijau.
“Tiba-tiba sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun keluar simpang pusingan U secara mengejut dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dari terlanggar bahagian belakang sebelah kiri lori berkenaan.
“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tercampak dari motosikalnya dan terjatuh di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dalam masa yang sama, motosikal mangsa terbabas ke laluan pusingan U jalan bertentangan dan terlanggar motosikal Perodua Viva.
“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala pemandu lori dan Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X