Search

Nelayan dikhuatiri lemas ketika memukat udang di Pulau Berhala

May 6, 2023

admin

SANDAKAN: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot ketika keluar memukat udang di perairan Pulau Berhala, di sini, semalam.

Mangsa, Mohammad Saidin Salapudin, 33, dikatakan keluar dari Jeti Pulau Berhala pada 6 pagi Jumaat dan sepatutnya pulang jam 3 petang hari sama.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mendapat aduan MERS 999 jam 4.55 petang semalam.

Maritim Malaysia bersama agensi keselamatan lain melakukan operasi pencarian mangsa dikhuatiri lemas di perairan Pulau Berhala, Sandakan. – Foto Maritim Malaysia

Katanya, bot mangsa ditemui oleh penduduk kampung tanpa jurumudi disyaki jatuh laut dan hilang di perairan berhampiran.

“Op Carilamat diaktifkan pada 6 petang semalam dengan sebuah bot Maritim Malaysia diaturgerak ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan dan melakukan pencarian awal mangsa.

“Pencarian hari kedua mangsa berkenaan pada hari ini diteruskan dengan keluasan pencarian 80 batu nautika persegi dari lokasi penemuan bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, media malam ini.

Menurutnya, enam buah aset laut diaturgerak dengan jumlah kekuatan pasukan pencarian terdiri daripada 55 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dan pelbagai agensi keselamatan.

“Antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Op Carilamat telah ditangguhkan pad 6 petang tadi dan akan disambung semula pada 7 pagi esok,” katanya. – Info X