TAWAU: Ketua Umno Sabah, Datu Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya kini masih memantau tindak-tanduk Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang didakwa lebih cenderung dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ketika ini.
Katanya, setakat ini Suryady hanya diberi amaran dan belum sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.
“Kita akan menunggu reaksi seterusnya, sekiranya dia (Suryady) secara terang-terangan keluar Umno, tindakan perlu diambil.
“Namun, kita dapati dalam laman facebooknya menyatakan dia masih UMNO dan meminta semua ‘relax’, jadi kita tunggu sahajalah tindakannya seterusnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian dalam malis Ramah Mesra Ketua UMNO Sabah bersama Ahli Jawatankuasa empat peringkat bahagian Tawau dan Kalabakan, di sini, semalam.
Bung berkata, dalam perjuangan memang macam itu, kerana ada orang yang dimenangkan, tetapi tidak tahu beruntung dan bersyukur.
“Saya ingin menyatakan, tiada orang lebih hebat daripada parti kerana jentera parti yang membolehkan calon boleh menang, bukannya atas diri sendiri.
“Kita yakin, sekiranya berlakunya pilihan raya, mana-mana kawasan yang mengkhianati parti, kita Umno akan dapat tawan semula kerusi tersebut,” katanya.
Bung berkata, dalam politik terdapat banyak musuh sama ada ia datang dari dalam parti sendiri ataupun luar parti.
“Kita tidak tahu musuh dalaman ini sejauh mana kekuatannya, tetapi musuh inilah yang selalu membunuh parti.
“Parti lain juga dilihat sedang giat mahu menghancurkan Barisan Nasional (BN) dan Umno, justeru kita mesti memenangkan hati pengundi disemua peringkat umur,” katanya. – Info X