TUARAN: Penganjuran Rhinos Cup (Sportink) 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak akar umbi di Sabah dengan menyediakan platform terbaik untuk mencungkil serta menggilap bakat muda yang berpotensi mewakili negeri ini di pentas lebih tinggi.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, berkata kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan antara pasukan, malah berperanan sebagai platform penting dalam usaha mengenal pasti pemain berbakat dari seluruh daerah di Sabah.
Beliau berkata, pembangunan bola sepak perlu bermula di peringkat akar umbi dengan memberi peluang kepada pemain muda menonjolkan kebolehan mereka dalam suasana pertandingan yang kompetitif.
“Rhinos Cup merupakan satu platform terbaik dalam usaha mengenal pasti bakat muda serta menyediakan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.
“Kejohanan seperti ini mampu membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda membuktikan kemampuan mereka sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rhinos Cup (Sportink) 2026 sempena Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Hilton Garden Inn Kota Kinabalu, dekat sini, pada Ahad.

Menurut Ghazali, Rhinos Cup 2026 yang julung kali dianjurkan di Sabah bakal menjadi pentas persediaan terbaik kepada pasukan dari setiap daerah untuk memburu kejuaraan, selain merebut peluang mewakili Sabah ke Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.
Katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan menghimpunkan pemain muda terbaik dari seluruh negeri bagi menghadapi saingan di peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan bola sepak Sabah tidak hanya bergantung kepada keupayaan pemain di atas padang, sebaliknya perlu disokong oleh sistem pengurusan yang cekap, tersusun serta kedudukan kewangan yang stabil.
Beliau yakin dengan pengurusan yang baik, SAFA mampu merancang pembangunan pemain secara lebih menyeluruh dan berterusan sehingga melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu mengangkat martabat bola sepak Sabah.
“Saya percaya dengan komitmen semua pihak, termasuk SAFA, persatuan bola sepak daerah, jurulatih dan ibu bapa, kita mampu membina ekosistem pembangunan bola sepak yang lebih kukuh serta melahirkan generasi pemain yang mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Pada masa sama, Ghazali turut menyambut baik pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang diadakan sempena kejohanan itu, termasuk klinik bola sepak, klinik bola sepak pantai dan street football membabitkan pemain bawah 12, bawah 14 dan bawah 17 tahun.
Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada pemain muda memperoleh pengalaman, meningkatkan kemahiran serta menerima bimbingan daripada jurulatih berpengalaman, sekali gus memudahkan proses mengenal pasti bakat sejak di peringkat akar umbi.
Beliau berharap program pembangunan seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah supaya lebih ramai pemain muda tempatan mendapat peluang mengembangkan potensi mereka serta menjadi pelapis kepada skuad negeri pada masa depan.
Majlis anjuran Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA itu turut dihadiri Naib Presiden IV SAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA, Rafie Robert; Setiausaha Agung SAFA, barisan Ahli Majlis Tertinggi SAFA serta wakil persatuan bola sepak daerah dari seluruh Sabah.- Info X