KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan Persekutuan dituntut supaya mengkaji semula subsidi BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak mengikut kesesuaian geografi dan jarak perjalanan antara kampung dan bandar yang jauh berbeza berbanding negeri di Semenanjung.
Pengerusi Backbencher DUN Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata kuota pembelian BUDI Diesel sebanyak 200 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian adalah tidak wajar bagi rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Beliau menegaskan, jumlah 200 liter sebulan itu hanya cukup untuk sehari atau dua hari perjalanan di Sabah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota Diesel sehingga 500 liter sebulan bagi Sabah dan Sarawak.
“Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel dengan syarat kelayakan terlalu ketat umpama menanamkan kebencian rakyat Sabah dan Sarawak kepada dasar baharu Persekutuan.
“Kuota 200 liter sebulan adalah tidak priktikal bagi lokasi perjalanan di bumi Borneo. Kerana rakyat sudah bersuara di luar sana terutama penduduk pedalaman yang menempuh perjalanan jauh untuk berurusan atau menjual hasil pertanian di bandar-bandar utama.
“Saya ingin mengambil contoh, penduduk pedalaman di kawasan saya di Kuamut. Mereka terpaksa menempuh perjalanan antara lima hingga enam jam untuk berurusan ke Kota Kinabalu.
“Penggunaan diesel sudah lebih 100 liter untuk perjalanan sehala.
Bayangkan perjalanan berulang alik sudah 200 liter, hanya untuk sehari atau dua hari,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, pada Isnin.
Beliau yang juga ADUN Kuamut, berkata kawasan diwakilinya lebih besar berbanding negeri Kedah.
“Kalau di Semenanjung kita memandu 20 minit sudah melalui dua atau tiga negeri. Tetapi kalau memandu di Sabah selama tiga jam kita cuma melintasi satu atau dua daerah sahaja.
“Saya ingin mengingatkan kerajaan Persekutuan. Masih ramai lagi penduduk di kawasan pedalaman di negeri ini yang tidak mempunyi kemudahan jalan raya dan elektrik.
“Mereka bergantung kepada pengangkutan bot dan terpaksa menggunakan generator Diesel untuk menjana elektrik.
“Mereka-mereka inilah yang terbeban dengan dasar baharu Persekutuan. Oleh kerana syarat subsidi BUDI Diesel terlalu ketat mereka terpaksa membeli Diesel dengan harga RM3.97 sen
seliter,” katanya.
Masiung berkata, di kawasan perkampungan juga ramai warga petani, nelayan dan pemilik bas sekolah memiliki kenderaan yang tidak didaftar atas nama sendiri kerana dibeli melalui pinjaman premis atau keadah sambung bayar.
Katanya, merekalah antara penduduk kampung yang tidak layak menikmati subsidi BUDI Diesel.
“Kita berharap melalui persidangan DUN ini kerajaan Persekutuan harus mengkaji semula dasar baharu subsidi diesel ini mengikut kesesuaian geografi muka bumi di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ends