Search

RM36 JUTA UNTUK BINA KOMPLEKS IADA DI KOTA BELUD

June 12, 2022

admin

KOTA BELUD: Sebanyak RM36 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di daerah ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kompleks berkenaan dijangka siap dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) sekaligus bakal menjadi satu mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras di Sabah.

“Kompleks IADA dijangka akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik dan cekap.

“Selain itu, kompleks berkenaan juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi selain terdapat bengkel jentera pertanian serta makmal analisis pertanian,” katanya selepas merasmikan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di IADA Kota Belud, di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Ronald turut menyempurnakan simbolik majlis pecah tanah yang akan menjadi selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasa peranan IADA dan membantu pembangunan subsektor padi di daerah Kota Belud.

Kawasan sawah terbiar seluas 45 hektar di daerah berkenaan melibatkan 40 orang
pesawah akan dibangunkan melalui inisiatif SMART SBB dan dijangka akan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama strategik awam-swasta bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Dalam pada itu, Ronald berkata, program SMART SBB dirangka khusus sebagai hala tuju baharu subsektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti dalam mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras 75 peratus seperti yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sekaligus mengurangkan kebergantungan import.

“Saya yakin kolaborasi strategik antara MAFI dengan syarikat-syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan.

“Kerajaan Persekutuan juga sudah memperuntukkan sebanyak RM68.97 juta kepada Sabah bagi tahun ini menerusi tiga program subsidi input dan satu program subsidi output.

“Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 45,016 orang pesawah termasuk pesawah padi bukit,” katanya. – Info X