TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM24.2 juta dalam operasi di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna, semalam.
Dalam operasi menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris itu, sebanyak 3,014 peti rokok pelbagai jenama dirampas, manakala 20 kru dan nakhoda warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid @ Razali, berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu berhubung aktiviti penyeludupan rokok di perairan berkenaan.

Katanya, aset Maritim Malaysia, KM Kidurong mengesan sebuah kapal kargo dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemantauan, anggota mendapati berlaku aktiviti pemindahan beberapa kotak berwarna coklat dari kapal kargo ke sebuah bot kumpit yang berada berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua vesel menemukan sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi sah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemukan 2,956 peti rokok jenama Bossqu, 40 peti New Iris, 15 peti Berlin dan tiga peti New Far, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 3,014 peti.
“Nilai rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan RM24.2 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk dua kapal yang digunakan dianggarkan RM65.7 juta,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai dibawa dari Vietnam sebelum dipindahkan menggunakan kapal kargo ke bot pengangkut untuk diedarkan secara haram di pasaran Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan kapal kargo sebagai pembawa utama sebelum memindahkan muatan kepada bot kumpit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kesemua 20 individu yang ditahan berusia antara 26 hingga 62 tahun terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, India dan Myanmar.
“Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen kapal yang sah, manakala bot kumpit yang digunakan juga tidak mempunyai sebarang pendaftaran,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyeludup rokok tidak bercukai, selain turut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua kapal bersama barang kes telah diiring ke Jeti Maritim Malaysia Zon Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau dalam pada itu menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan perairan.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut bagi membantu pihak berkuasa,” katanya. – Info X