Search

Dua pekerja melecur selepas kompresor kilang meletup, terbakar

June 24, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Dua pekerja mengalami kecederaan melecur selepas sebuah kompresor mesin pemotong kayu meletup dan terbakar dalam kejadian di sebuah kilang di Kampung Kuala Biah, di sini, petang tadi.

Kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang sebelum sepasukan 13 anggota dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba, didapati kebakaran melibatkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di dalam kilang yang terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran turut merebak dan memusnahkan sebuah Toyota Land Cruiser yang terbakar 100 peratus.

“Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula di dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua pekerja mengalami kecederaan melecur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa warga tempatan mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan, manakala seorang lagi pekerja warga asing dilaporkan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badan.

Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera tangki air.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan kilang sebelum memadamkan api sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.38 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X