Search

19 disyaki ahli pertubuhan haram ditahan ketika sambutan ulang tahun kumpulan

June 25, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seramai 19 lelaki yang disyaki terbabit sebagai ahli sebuah pertubuhan haram ditahan ketika menghadiri sambutan ulang tahun kumpulan itu dalam Op Cantas Bersepadu (Gangsterisme) di sebuah premis makanan di Jalan Masjid, Keningau malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyerbu premis berkenaan sebelum menahan semua suspek berusia antara 14 hingga 59 tahun.

Difahamkan, semua ahli kumpulan berkenaan berkumpul di lokasi serbuan bagi memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight’s Of The Right Kepper’s (KRKK) yang diadakan setiap 24 Jun setiap tahun.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan berkenana diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015.

Katanya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan yang menandakan sebagai ahli kumpulan KRK.

“Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan.

Katanya, pihak polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut. – Info X