PENAMPANG: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah stor di Jalan Kobusak, di sini, terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang menerusi Op Tiris 4.0 itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, 2,775 liter minyak diesel bersubsidi serta beberapa unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC).
Beliau berkata, pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penyelewengan bahan api.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM158,826.75.
“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 24 Jun lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 81 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM22.79 juta.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 75 individu turut ditahan bagi membantu siasatan pelbagai kes berkaitan penyelewengan barang kawalan.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barang kawalan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini diseru menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil demi melindungi kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X