Search

Rangka manusia ditemukan dalam parit, polis mohon bantuan orang ramai

June 25, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Penduduk di kawasan turunan Bukit Taman Pertama 1, di sini, gempar apabila menemui rangka manusia di dalam sebuah parit, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.53 pagi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerima panggilan melalui talian MERS999 daripada orang awam yang memaklumkan penemuan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum mengesahkan penemuan itu.

“Rangka manusia berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut serta menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan penemuan rangka berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh hadir ke IPD Lahad Datu atau mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, Sarjan Mejar Ronney Lajius di talian 010-4641071.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. – Info X