Search

91 warga asing ditahan JIM dalam operasi bersepadu

June 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 91 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan di empat daerah, semalam.

Hasil operasi Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip berkenaan, seramai 373 individu diperiksa melibatkan pelbagai lokasi yang dikenalpasti sebagai lokasi tumpuan warga asing.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah berkata, dalam operasi di Kota Kinabalu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 151 individu sebelum menahan 46 warga asing.

Katanya, semua ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan melibatkan warga Filipina iaitu seramai 14 lelaki, 18 perempuan dan 11 kanak-kanak. Pasukan operasi turut menahan dua lelaki warganegara Indonesia seorang lelaki warganegara Pakistan.

“Dalam daerah Kudat, operasi penguatkuasaan berjaya memeriksa 46 individu dan membawa kepada penahanan sembilan warga melibatkan seorang lelaki, empat wanita dan empat kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, operasi diteruskan di daerah Tawau dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau.

Katanya, seramai 159 individu diperiksa dan 21 warga asing ditahan terdiri daripada 11 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak warganegara Filipina dan Indonesia.

“Operasi diteruskan di daerah Ranau dan berjaya memeriksa seramai 17 individu sebelum seramai 13 PATI warga Filipina dan Indonesia,” katanya.

Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia juga usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara. – Info X