Search

Ops Tapis: 6 lelaki ditahan, dadah cecair dan ganja dirampas

June 25, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Aktiviti penyalahgunaan dan pemilikan dadah di pusat hiburan, kafe serta premis kediaman di daerah ini terbongkar apabila enam lelaki tempatan ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.

Operasi dijalankan dengan kerjasama BSJND IPD Kota Kinabalu menerusi Op Tapis di beberapa lokasi sekitar daerah Penampang bermula malam 24 Jun hingga awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damas 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob, Penampang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan membawa kepada rampasan cecair disyaki dadah jenis MDMA/Psilocybin berjumlah 20.5 mililiter bernilai RM360 serta ganja seberat 5.41 gram yang dianggarkan bernilai RM120.

“Keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM480.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan maklumat yang diperoleh daripada tangkapan awal, polis berjaya menahan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum melakukan serbuan susulan ke sebuah kondominium yang membawa kepada penemuan ganja dan penahanan dua lagi suspek.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang lagi didapati negatif.

“Siasatan turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 akta sama serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, Polis Daerah Penampang akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah terutama di kawasan pusat hiburan, premis perniagaan, kafe dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih serta pengedar dadah.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X