KOTA KINABALU: Seramai 60 pegawai rendah Pasukan Gerakan Am (PGA) dari seluruh batalion di bawah Briged Sabah berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan PGA Siri 1/2026 selepas menjalani latihan intensif selama hampir tiga bulan.
Majlis penutupan kursus itu diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, hari ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi anggota PGA di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kursus yang berlangsung selama dua bulan 20 hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai ilmu dan kemahiran asas yang diperlukan dalam melaksanakan tugas sebagai anggota PGA.
Beliau berkata, latihan berkenaan memberi penekanan kepada teknik pertempuran di kawasan hutan dan bukan hutan, kemahiran mempertahankan diri, latihan ikhtiar hidup (survival) serta pelbagai kemahiran operasi lain yang relevan dengan keperluan semasa.
“Semua kemahiran ini penting bagi memastikan anggota PGA sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran ketika melaksanakan tugas di lapangan.
“Latihan yang diberikan bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal dan mental anggota, malah membentuk tahap disiplin serta keyakinan diri yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus itu.
Jauteh berkata, kursus berkenaan akan diteruskan secara berkala bagi memenuhi keperluan latihan anggota PGA di Sabah, khususnya selepas penambahan tiga batalion PGA di negeri ini.
Menurutnya, kapasiti latihan bagi setiap siri hanya mampu menampung sekitar 60 peserta, justeru lebih banyak siri kursus perlu dilaksanakan bagi memastikan semua anggota menerima latihan yang secukupnya.
“Penambahan tiga batalion PGA di Sabah memerlukan latihan dipertingkatkan supaya semua anggota mendapat pendedahan dan latihan yang sewajarnya sebelum menjalankan tugas.
“Berdasarkan perancangan semasa, satu lagi siri kursus dijangka diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata anggota PGA perlu mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk penugasan memandangkan skop tugas mereka tidak terhad kepada kawasan hutan dan sempadan sahaja.
“Anggota PGA adalah barisan hadapan pasukan keselamatan. Mereka perlu fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan operasi.
“Mereka juga perlu mempunyai keyakinan tinggi serta kekal tenang ketika berhadapan cabaran. Dalam apa juga situasi, mereka tidak boleh mudah goyah dan perlu sentiasa stabil ketika menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kes buli membabitkan kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini, Jauteh berkata polis sudah membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan daripada mangsa serta individu yang dipercayai terbabit.
Beliau berkata, kes berkenaan akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan suspek terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada pihak yang terlibat.
“Kita minta masyarakat memberi ruang kepada polis, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan serta tindakan sewajarnya.
“Penyebaran secara berleluasa, termasuk komen yang tidak sesuai di media sosial, hanya akan memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. – Info X