Search

Warga emas strok sempat diselamatkan sebelum rumah kedai terbakar

June 25, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang warga emas yang mengalami strok berjaya diselamatkan orang awam sebelum kebakaran memusnahkan sebuah rumah kedai sewa enam pintu bilik di Pasar Tanjung, berhadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa berjaya dibawa keluar dari premis berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.

Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.25 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah kedai sewa enam pintu bilik di tingkat tiga.

“Rumah kedai jenis kekal berkeluasan 30 x 50 kaki itu terbakar kira-kira 90 peratus.

“Kebakaran turut merebak ke sebuah unit stor bersebelahan yang berkeluasan sama dan mengalami kerosakan sekitar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera tangki air serta pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.45 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas kerja pemeriksaan dan overhaul selesai dijalankan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa warga emas yang diselamatkan orang awam berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Jemishin berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X