PUTATAN: Sebuah rumah flat di PPR Sri Keramat, Jalan Ketiau Tombovo di sini terbakar kira-kira 90 peratus dalam kejadian kebakaran yang dilaporkan pada pagi tadi.
Ketua Balai BBP Putatan Noor Sherriyana Bohari berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.29 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.41 pagi selepas menempuh jarak 5.1 kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah unit rumah flat jenis kekal dengan keluasan anggaran 750 kaki persegi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan air yang dibekalkan daripada tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.13 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 9.05 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dibuat,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang risiko bahaya lanjut.
Seramai 26 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, sembilan anggota BBP Penampang dan tujuh anggota BBP Kota Kinabalu.
Beberapa agensi lain turut berada di lokasi bagi membantu kawalan keselamatan dan sokongan operasi.
Agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta Majlis Daerah. – Info X