KOTA MARUDU: Sikap prihatin dan tindakan pantas Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Marudu terbukti apabila beliau tanpa berlengah menghentikan kenderaan bagi menghulurkan bantuan awal kepada mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Kesagaan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu, segera turun ke lokasi kejadian sebaik menyedari berlaku kemalangan.
Beliau bertindak membantu mengawal keadaan di lokasi kejadian bagi memastikan situasi berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
Selain itu, beliau turut mengalihkan halangan di atas jalan raya bagi mengelakkan risiko kemalangan susulan.

Beliau juga mengawal aliran trafik demi keselamatan pengguna jalan raya lain yang melalui kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya pada waktu malam.
“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya. – Info X