Search

Rumah pekerja, kedai, stor musnah terbakar

October 4, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Rumah pekerja dan stor musnah dalam kebakaran di kawasan bersebelahan sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Kejadian itu juga menyebabkan sebuah kedai makan kosong terjejas sebanyak 50 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.50 tengah hari.

Katanya, sepasukan pegawai serta anggota bergegas ke lokasi sejauh empat kilometer dari jarak balai bersama jentera pemadam.

“Ketika tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah sebuah rumah pekerja tidak kekal dan sebuah stor jenis kekal terbakar sepenuhnya.

“Sebuah kedai makan kosong jenis kekal turut terbakar 50 peratus dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan menggunakan sumber air dari jentera,” katanya.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan rumah pekerja, stor dan kedai makan kosong di Keningau. – Foto/Bomba

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal jam 1.28 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Operasi ditamatkan jam 2.23 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X