KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki untuk memperoleh wang mudah hasil pengedaran dadah berakhir apabila dia diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Tuaran, Likas, semalam.
Suspek berusia 38 tahun yang baru pertama kali berperanan sebagai ‘runner’ sindiket pengedaran dadah itu ditahan bersama teman wanitanya dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu.
Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui dadah jenis syabu seberat 880.53 gram dengan nilai anggaran RM33,000 yang disembunyikan dalam beberapa bungkusan plastik.
Turut disita dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pengedaran dadah.

Siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di sekitar Kampung Delima, Kampung Suang Parai dan Lok Buno, Sepanggar.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil ketika dihubungi mengesahkan tangkapan serta rampasan berkenaan dan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di seluruh negeri ini. – Info X
JSJN Sabah Perangi Dadah, Lindungi Generasi.