Search

PRU Sabah: PN umum calon 11 November, dijangka tanding 40 kerusi

November 1, 2025

Info X Reporters

SEPANGGAR: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan senarai calon pada 11 November ini dengan jangkaan sebanyak 40 kerusi bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 (PRN17).

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas melancarkan jentera PN bagi kerusi DUN Karambunai di Taman Sepanggar, di sini, pada Sabtu.

Katanya, tiga parti komponen PN iaitu PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gerakan kini dalam proses memuktamadkan kerusi dan senarai calon masing-masing sebelum diumumkan pada 11 November nanti.

“Kita masih lagi dalam proses memuktamadkan kerusi sebelum pengisytiharan calon dan pelancaran jentera seluruh Sabah yang akan dibuat pada 11 November ini.

“Semua nama calon kita teliti sebelum diangkat untuk kita sahkan dan kalau dalam PAS, kita ada majlis syura yang akan meneliti semua calon kita dalam PN.

“Kita ada akujanji kepada semua calon yang akan dibuat sebelum watikah diberi kepada calon pada 11 November nanti. Jadi soal kerusi, soal siapa calon, kita akan putuskan pada 11 November nanti,” katanya.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Tan Sri Annuar Musa dan bakal calon PN kerusi DUN Karambunai yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, setakat ini PN hanya menumpukan kerjasama dalam kalangan parti komponennya sebelum melihat kerjasama dengan parti lain selepas keputusan PRN17 diketahui.

“Apa yang penting sekarang kita nak menang atas tiket PN, soal gabungan dan sebagainya buat masa ini kita tak ada dalam kepala lagi. Kita full-force dulu tenaga kita untuk PN,” katanya.

Mengenai sentimen Sabah for Sabahan yang dibawa parti tempatan Sabah, Tuan Ibrahim menyifatkan slogan itu sebagai perkara biasa, sama seperti slogan Bangsa Johor di Johor dan Gagasan Terengganu Kita di Terengganu.

Katanya, sentimen itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat Sabah kepada parti nasional, khususnya PN, sejajar kehadiran parti nasional di negeri ini yang sudah lama berlaku.

“Sejarah Sabah ini berbeza sikit sebab daripada dulu sudah ada Barisan Nasional (BN) dan kemudian PN. Jadi sentimen Sabah for Sabahan itu bukan bermaksud bahawa tak boleh terima parti luar.

“Ia tidak berlaku di Sabah, cuma apa yang saya tengok macam Johor, ada Bangsa Johor dan di Terengganu ada Gagasan Terengganu Kita, itu sentimen untuk negeri.

“Jadi dalam konteks politik Sabah ini, ia dinamik dan terbuka sejak dulu lagi. Sebab itu kita yakin kali ini pengundi Sabah akan memilih PN sebab walaupun parti itu mungkin presidennya dari Semenanjung, tapi seluruh kepimpinan PN Sabah ini orang Sabah,” katanya. – Info X