TUARAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari kebun semalam, ditemui selamat pagi tadi di tepi jalan berhampiran Kampung Kionsom Lama, Tamparuli.
Mangsa, Joseph Simon, 79, disedari hilang apabila anaknya ke pondok kebun untuk menjemputnya pulang ke rumah namun mendapati warga emas itu tiada di situ.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Mohamad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 pagi sebelum sepasukan tiga anggota digerakkan ke lokasi sejauh 18 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 6.40 pagi di sekitar kawasan kebun dan hutan berhampiran tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Pencarian berhasil apabila mangsa ditemukan pada jam 7.28 pagi tadi di tepi jalan raya berhampiran dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba memastikan keadaan mangsa stabil sebelum menyerahkannya kepada keluarga.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.42 pagi. – Info X