PAPAR: Tindakan mencurigakan lelaki yang memandu kereta di Jalan Pan Borneo, Kampung Tanaki, Kawang di sini membongkar penemuan satu laras senapang jenis bakakuk, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, anggota kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar turut merampas 10 butir peluru senapang patah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, anggota MPV yang sedang menjalankan tugas cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota polis kemudian menahan kereta berkenaan untuk pemeriksaan namun salah seorang suspek terus melarikan diri keluar dari kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalsm kereta suspek menemui satu beg yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan sebelah penumpang yang mengandungi 10 butir peluru senapang patah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati di bahagian belakang bonet kereta turut menemui satu laras senapang jenis bakakuk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun ditahan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Orang ramai dinasihatikan supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di daerah ini kepada pihak polis dengan kadar segera di talian 088-912222,” katanya. – Info X