Search

RUU Anti Lompat Parti dibentang minggu depan – Liew

May 18, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu depan.

Dalam satu sidang media, di sini, hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah itu berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan menyokong RUU berkenaan.

“Berdasarkan pemahaman saya, kerajaan negeri akan membentangkan RUU ini pada sidang DUN ini.

“Perkara ini telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri. Saya tahu dari mana kekeliruan ini timbul namun, ia (RUU) akan dibentangkan,” katanya.

Liew yang juga ADUN Api-Api itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya bahawa RUU Anti Lompat Parti mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang DUN yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 Mei.

Beliau berkata, sekiranya RUU itu tidak sempat dibentangkan maka, sidang DUN khas mungkin akan diadakan bagi membolehkan ADUN mempunyai masa mencukupi untuk berbahas mengenai RUU berkenaan.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk membentangkan usul persendirian RUU Anti Lompat Parti seperti yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal. – Info X