Search

RUU Ordinan Buruh Sabah dibentang kali kedua Oktober depan

September 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua pada Persidangan Parlimen Oktober depan disokong sebulat suara semua Ahli Parlimen.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 itu sudah dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia pada persidangan 17 Julai lalu.

“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini yang dijadualkan pada sesi persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024 mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen.

“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di Sabah dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri lebih harmoni dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.

Hajiji bersalaman dengan peserta Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024 di SICC.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya terhadap pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan adalah berkaitan isu hak asasi manusia dan hak buruh.

Katanya, pindaan itu juga menekankan penghapusan diskriminasi dengan memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Jelasnya, ia selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini.

Beliau berkata, jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijak mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.

Hajiji menyempurnakan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024 di SICC.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini.

“Ia memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan.

“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi yang dilantik dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.

Dalam hubungan itu, katanya kerjasama di antara kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan khususnya yang terlibat secara langsung di bawah MAPO perlu diperkasa.

Jelasnya, langkah itu untuk memastikan aspek penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa dapat dilaksana dengan sebaik mungkin agar negara tidak dituduh mengabaikan atau mengambil mudah isu berkenaan.

Hajiji berkata, beliau mahu semua majikan sentiasa memastikan amalan baik industri dilaksana, meningkatkan piawaian perburuhan seperti termaktub dalam dasar dan perundangan negara.

Beliau juga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini sama-sama mengambil bahagian menandatangani ikrar dan akujanji memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa. – Info X