Search

Sabah FC masih di landasan betul – Kim Swee

June 3, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Walaupun kecundang 1-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA FC) dalam aksi Liga Super, di Alor Setar, malam tadi, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya masih berada di landasan yang betul.

Katanya, apa yang perlu dilakukan selepas ini ialah memperbaiki kelemahan seterusnya bangkit untuk memenangi perlawanan-perlawanan akan datang.

“Kami berada dalam landasan yang betul dan masih lagi belum terlambat untuk kami memperbaiki dari segi kedudukan dalam carta kini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Kim Swee juga akur dan menerima keputusan tewas kepada KDA FC yang disifatkan beraksi lebih baik berbanding Sabah FC.

“Kami tewas pada pasukan yang lebih baik pada perlawanan ini dan kami harus akur dengan kemenangan yang diperolehi pasukan KDA FC dan kelemahan ini harus kami perbaiki.

“Kami gagal mengadaptasi keadaan dalam perlawanan ini selepas kami gagal kekalkan gol yang kami dahului di awal babak pertama itu dan selepas pemain Jailton Da Silva mengalami kecederaan dan dalam usaha untuk mengubah corak permainan, keadaan itu pula dapat dikekang oleh pihak lawan.

“Kami berjaya mengawal keadaan hanya sementara tetapi Kedah menunjukkan permainan yang lebih baik bagi saya di mana mereka memiliki individu yang boleh melakukan sesuatu dalam keadaan intensiti tinggi dan akhirnya mereka dapat menyamakan kedudukan seterusnya mendahului di babak kedua,” katanya.

Kim Swee juga berkata, bagi memastikan kebangkitan Sabah FC dalam pusingan kedua nanti, skuadnya perlu segera melihat setiap kelemahan dengan segara agar kedudukan Sabah FC tidak terkeluar dari landasan yang ditetapkan musim ini.

“Sabah tidak terlalu jauh ke belakang kerana kami hanya tewas tiga kali dan ianya semua ditempat lawan dan oleh itu kami perlu bangkit semula selepas ini di pusingan kedua untuk mendapatkan mata di tepat lawan dan kekalkan rekod kami di laman sendiri kerana dalam 13 perlawanan lagi selepas ini macam-macam boleh berlaku.

“Setiap kekalahan ada kelemahan yang perlu kita perbaiki dan kami harus terima yang kami tidak cukup baik untuk menyaingi pasukan KDA FC pada perlawanan ini.

“Saya percaya selepas ini sudah tentu kami ingin melakukan aksi yang lebih baik untuk memastikan kami berjaya bangkit semula dari kekalahan ini,” katanya. – Info X