KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghargai bantuan kerajaan persekutuan menerusi penyaluran peruntukan segera RM25 juta bagi membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak, selain membantu penduduk terjejas akibat banjir di beberapa daerah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri amat mengalu-alukan penyaluran peruntukan itu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Sudah pasti bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa banjir selain membaiki kerosakan infrastruktur akibat banjir.
“Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas bantuan segera ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan kira-kira RM25 juta untuk membaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh serta kebakaran di Sabah dan Sarawak.
Peruntukan itu juga merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan akibat bencana.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan seramai 14,209 kekuatan sumber manusia dari pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan terbabit dalam operasi bencana.
“Ia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain.
“Jumlah keseluruhan logistik pula sebanyak 1,456 unit yang membabitkan logistik darat, air dan udara.
“Selain itu, semua Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dibekukan cuti untuk menghadapi MTL pada kali ini,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang terbabit dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke lokasi selamat ketika banjir di negeri ini. – Info X