Search

Sabah pengeluar utama biji koko negara

March 5, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sabah merupakan pengluar utama biji koko negara di mana ia turut menyumbang sebanyak 57 peratus daripada jumlah keluasan tanaman koko negara yang seluas 3,444 hektar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, petani koko di negeri ini termasuk dari Kota Marudu dan Keningau turut menyumbang kepada pengluaran biji koko dan coklat premium termasuk coklat Bean-To- Bar, Single Origin dan Artisanal.

Sehubungan itu, Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort mahukan industri ini dimajukan sebagai satu industri pertanian yang mampu meningkatkan taraf pendapatan seharian khususnya kepada petani koko di negeri ini.

“Potensi tanaman koko di negeri ini boleh dimajukan dan dikembangkan lagi dan sehubungan itu galakan perlu diberikan kepada pekebun melalui penyelidikan bantuan serta khidmat nasihat kepada mereka untuk terus meningkatkan kualiti tanaman koko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama kakitangan Lembaga Koko Malaysia di Ibu Pejabat (LKM), di sini, kemarin.

Turut hadir Ketua Pengarah (LKM) Dr Ramle Kasin dan Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan (LKM) Dr Ahmad Kamil Mohd Jaafar.

Siti Aminah berkata, dalam tahun 2023, LKM akan melaksanakan projek Tanaman Baharu (TB23) dengan sasaran keluasan 200 hektar di seluruh negara dan dari jumlah berkenaan 100 hektar adalah di Sabah dan 80 hektar di Sarawak serta 20 hektar di Semenanjung.

Beliau berkata, industri hiliran di Sabah kini terdiri daripada empat syarikat pengilang coklat dan konfekasi koko serta 34 usahawan coklat tempatan di mana pada tahun 2022, nilai jualan usahawan coklat di Sabah adalah berjumlah RM792,351.

“Selaras dengan Pelan Strategi Lembaga Koko Malaysia (PSLKM) saya berharap program-program pembangunan untuk meningkatkan pengluaran koko, kemampanan koko akan terus digerakkan bagi meningkatkan pengluaran koko dan pendapatan petani serta usahawan,” katanya. – Info X