Search

Sabah perlu enakmen khas, had umur belia 30 tahun tidak sesuai – Majlis Belia Sabah

February 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyifatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 bermula 1 Januari 2026 tidak sesuai dilaksanakan di Sabah.

Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata penurunan had usia golongan belia daripada 40 tahun pada ketika ini boleh menjejaskan gerakan belia di negeri ini.

Berikutan itu, katanya MBS mengambil pendirian tidak bersetuju dengan penguatkuasaan akta berkenaan dan mahu kerajaan negeri menggubal enakmen khas untuk belia di Sabah.

“MBS melihat pelaksanaan ini (had usia 30 tahun) boleh merencatkan pertumbuhan pertubuhan belia di Sabah.

“Sehubungan itu, saya ingin menyatakan pendirian MBS melalui persetujuan bersama Dewan Tertinggi MBS bahawa penurunan had umur belia kepada 30 tahun belum sesuai dilaksanakan di Sabah.

“Sejajar dengan itu, kita minta Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk mewujudkan Enakmen Belia Sabah bagi menjaga kepentingan belia di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, enakmen khas untuk golongan belia di Sabah perlu diwujudkan segera sebelum ketibaan tarikh penguatkuasaan had umur baharu belia yang dilaksanakan di bawah Kementerian Belia dan Sukan persekutuan.

Katanya, jika enakmen itu gagal diwujudkan sebelum penguatkuasaan had umur baharu itu, belia di Sabah terpaksa patuh kepada Akta Pertubuhan Belia (Pindaan) 2019 yang disifatkan belum sesuai dikuatkuasakan di Sabah.

Abqaree berkata, Enakmen Belia Sabah yang dicadangkan MBS bukan hanya tertumpu kepada soal had umur belia untuk Sabah, malah merangkumi pelbagai aspek berkaitan kepentingan belia di negeri ini.

“Dengan adanya enakmen itu nanti, ia akan memberi kuasa penuh kepada kerajaan negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk mengurus tadbir belia secara keseluruhannya di negeri ini.

“Kewujudan Enakmen Belia Sabah juga dapat memastikan gerakan belia di negeri ini lebih terancang selain menyediakan kepemimpinan belia baharu dengan acuan kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ada dua isu yang membabitkan belia dalam penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia (Pindaan) 2019, iaitu berkaitan pertubuhan belia dan belia secara individu.

Katanya, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, belia secara individu terkandung dalam senarai bidang kuasa negeri.

“Ini bererti belia yang tidak berpersatuan, tidak tertakluk kepada akta itu, sebaliknya ia berada di bawah senarai negeri. Atas sebab itu, kerajaan negeri ada hak untuk menentukan halatuju serta masa depan belia di peringkat negeri,” katanya.

Katanya, pendirian MBS berhubung soal had umur itu bukan bermakna Sabah belum bersedia menerima pakai akta terbabit, namun ia perlu mengambil kira acuan di Sabah yang berbeza dengan negeri lain.

Pada 23 November tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa kerajaan persekutuan menetapkan tarikh untuk menguatkuasakan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 pada 1 Januari 2026.

Pindaan itu antara lain menetapkan had baharu umur belia kepada 30 tahun, manakala had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia kepada 18 hingga 30 tahun dan had tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun. – Info X