KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan kegiatan menjual senapang angin, peluru dan minuman keras serta rokok tidak bercukai susulan penahanan suami isteri dalam dua serbuan di Nabawan, di sini, semalam.
Suspek wanita berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Lima Lumintok dan suaminya berusia 33 tahun ditahan di kedai runcit di Kampung Sarikan Jalan Tawau – Keningau, Nabawan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, serbuan Op Laras dan Op Kontraban dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, serbuan dijalankan secara serentak itu menahan seorang lelaki dan wanita di dua lokasi berasingan kerana dipercayai menjalankan aktiviti menjual senjata api dan barang-barang tiada cukai Kastam.
“Hasil serbuan kedua-duanya, pasukan operasi merampas enam senapang angin dengan pelbagai jenama.
“Turut dirampas ratusan peluru pelbagai jenis dan beberapa peralatan senapang angin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut pasukan serbuan menemui pelbagai minuman keras dan rokok yang tiada cukai kastam.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM60,000.
“Polis masih meneruskan siasatan termasuk mengenal pasti sumber utama senapang angin milik suami isteri warga tempatan terbabit,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Info X