KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Sabah telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Katanya, kerajaan negeri yang pada awalnya bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM100,528,975 bagi pengelolaan secara bersama Sukan SEA 2027 telah memutuskan untuk menarik diri kerana kekurangan kemudahan yang bersesuaian.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak swasta dan korporat untuk mendapatkan penajaan dalam bentuk wang tunai dan barangan.
Yeoh menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan), mengenai perancangan serta persediaan penganjuran Sukan SEA 2027 dan peruntukan disediakan bagi penganjuran berkaitan mengikut pecahan negeri.
Sebelum ini, beliau mengumumkan Malaysia menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA itu dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi penganjur bersama Kuala Lumpur.
September lalu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Ellron Angin, dilaporkan berkata kerajaan negeri membuat keputusan menimbang semula cadangan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Katanya, mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memutuskan perkara itu selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek. – Info X