TUARAN: Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
“Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri, saya berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh dengan menunjukkan kesepakatan dan komitmen tinggi bagi memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Sabah Electricity bersama Komuniti, Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Hadir sama Pengerusi Sabah Electricity yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau.

Hajiji berkata, antara usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri adalah pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari hingga Jun 2025.
“Subsidi sebanyak RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri daripada golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Faktor utama masalah bekalan elektrik di negeri ini tidak hanya berkaitan dengan masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan bagi mencapai jidar simpanan kapasiti penjanaan ke tahap 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan itu dan menambah baik situasi bekalan elektrik di Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity dalam memudah cara dan memberi sokongan bagi melaksanakan Pelan Transformasi Sabah Electricity. – Info X