KOTA KINABALU: PKR Sabah menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berhubung perkembangan siasatan kes rasuah membabitkan beberapa ADUN yang dikaitkan dengan perlombongan mineral di Sabah sebagai bukti tiada campur tangan Perdana Menteri.
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini jelas menunjukkan badan siasatan rasuah itu bebas menjalankan tugasnya tanpa tekanan daripada kerajaan.
“Menurut SPRM, kertas siasatan pertama membabitkan pemberi maklumat dan bekas pegawai Jabatan Mineral Sabah telah selesai dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kertas siasatan membabitkan beberapa ADUN juga telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan tetapi Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan Pegawai Penyiasat supaya melengkapkan beberapa keterangan yang perlu sebelum akhir bulan Januari.
“Di sini jelas di bawah kerajaan Madani, Perdana Menteri mahupun mana-mana pemimpin kerajaan tidak campur tangan sama ada menghalang mahupun menekan SPRM untuk mempercepatkan pendakwaan sebaliknya memberikan ruang seluasnya kepada SPRM,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, dengan kertas siasatan yang belum lengkap, jika pendakwaan dilakukan secara terburu-buru hanya bagi memuaskan hati beberapa pihak, pendakwaan dikhuatiri menjadi cacat.
Situasi itu katanya boleh mengakibatkan individu yang bersalah terlepas daripada hukuman dan mencemarkan kredibiliti pihak berkuasa serta kerajaan Madani. – Info X