KOTA KINABALU: Sabah tidak terkesan dengan cadangan PETRONAS untuk menghentikan operasi Saluran Paip Gas Sabah – Sarawak (SSGP) dari Kimanis ke Bintulu, Sarawak.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata beliau yakin syarikat itu mempunyai alasan tertentu sebelum memutuskan tindakan berkenaan.
Jelasnya, paip gas sepanjang 500 kilometer dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis itu memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.
“Pertama sekali, saya rasa PETRONAS melihat semula keutamaan mereka, memandangkan kesukaran operasi penghantaran gas di antara negeri ini dengan Bintulu kerana banyak cabaran dan kos pembaikan yang sangat mahal.
“Setiap kali ada masalah di sepanjang saluran paip itu, ia satu kerja yang sukar dan mahal kerana saluran paip itu terlalu panjang, jadi saya rasa PETRONAS mengambil langkah praktikal dalam hal ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) mengulas kenyataan PETRONAS mengenai cadangan penamatan aktiviti aset matang syarikat itu dalam operasi huluan negara, termasuk Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP).
Masidi berkata PETRONAS juga mungkin mengambil kira projek pembangunan loji LNG terapung yang sedang dilaksanakan syarikat itu ketika ini di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di selatan Sabah.
Katanya, sebelum membuat keputusan itu, beliau yakin PETRONAS juga mengambil kira kesannya terhadap loji LNG syarikat itu di Bintulu, iaitu antara loji LNG yang terbesar di dunia.
“Jangan lupa, loji LNG di Bintulu adalah antara terbesar di dunia. Sebab itulah dari awal lagi semua gas dihantar ke Bintulu.
“Tapi, memandangkan kos yang mahal terutama setiap kali ada masalah membabitkan saluran paip penghantaran, mereka mungkin rasa perlu mencari pilihan lain.
“Pada dasarnya, apa yang mereka lakukan sekarang adalah mencari pilihan lain untuk menggunakan gas itu,” katanya. – Info X