Search

Sabah yakin Belanjawan 2025 teruskan fokus pembangunan luar bandar

October 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini akan terus menumpukan kepada program pembangunan luar bandar, khususnya di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejajar dengan itu, Sabah dijangka menerima peruntukan berterusan untuk membangunkan luar bandar demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

Jelasnya, Sabah memerlukan peruntukan yang berterusan dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan yang wujud di antara kawasan bandar dan luar bandar ketika ini.

“Saya difahamkan bahawa di bawah Belanjawan 2025, peruntukan akan terus diberikan untuk pembangunan luar bandar di Sabah bagi merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar serta menambah baik kemudahan asas, khususnya dalam menangani isu berkaitan sekolah dan klinik daif.

“Bagi tujuan ini, tumpuan akan diberikan untuk memastikan akses penuh kepada kemudahan asas, khususnya jalan raya, bekalan air bersih terawat dan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga akan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, merangkumi penyediaan perlindungan sosial untuk semua lapisan masyarakat, pekerjaan dengan gaji yang lebih baik serta langkah dan dasar yang akan menyaksikan pengagihan kekayaan negara secara adil.

Hajiji berkata, kerajaan negeri optimis Belanjawan Negara 2025 akan membawa Malaysia lebih dekat untuk merealisasikan Ekonomi MADANI dengan kerjasama semua rakyat negara ini.

“Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini di Parlimen adalah kerangka hala tuju jangka panjang ekonomi Malaysia yang bertujuan meningkatkan siling potensi ekonomi negara dan tahap kualiti kehidupan rakyat selaras dengan temanya ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,” katanya.

Ketua Menteri turut meminta semua agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini untuk menilai prestasi masing-masing sepanjang tempoh suku ketiga tahun ini.

“Agensi dan jabatan di Sabah perlu berupaya meneroka peluang untuk meningkatkan prestasi projek pembangunan negeri,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa projek pembangunan Persekutuan seperti sekolah dan klinik boleh dilaksanakan tanpa menunggu hak milik tanah dikeluarkan selagi tanah itu sudah diwartakan untuk tujuan berkenaan.

“Sekiranya tanah diperlukan untuk membina sekolah dan klinik, kerajaan negeri akan memudahkan bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek,” katanya.

Katanya, pembabitan dan kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi Persekutuan di Sabah perlu diperkukuh untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan. – Info X