Search

Sabah sedia jadi hub kemajuan teknologi

October 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah sudah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi dengan menggalakkan penghasilan inovasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk membangunkan ekonomi berorientasikan masa depan melalui inovasi.

“Dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri telah merangka satu visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik dan berdaya saing di rantau ini.

“Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian, Pelancongan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘SUPERCHARGER SABAH 2024’ di Pusat Islam,
Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Selasa.

Hajiji menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) di antara UMS dan Technology Innovation Park Malaysia (TIPM/MRANTI) pada program Supercharger Sabah 2024 di Pusat Islam, UMS.

Hajiji mengambil contoh dalam sektor pertanian, Kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih RM33 juta kepada Sabah pada Julai lalu, dalam usaha
meningkatkan keterjaminan makanan.

Dana itu, katanya penting untuk mengoptimakan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan.

“Inisiatif seperti siri Program Supercharger yang memberi fokus utama dalam keterjaminan makanan amat penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan import bekalan makanan.

“Justeru, seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk meningkatkan tahap sara diri makanan dengan menggalakkan inovasi dalam pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan,” katanya.

Jelasnya, Sabah wajar memperkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti penggunaan ‘smart farming’ dan automasi atau mekanisasi untuk meningkatkan hasil dan kualiti produk, bukan saja untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga demi memastikan amalan pertanian yang mampan dan mesra alam.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, UMS telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan masyarakat di Sabah melalui pengkomersialan inovasi mereka dan pemindahan pengetahuan kepada masyarakat.

“Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’ dan banyak lagi. Pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang cemerlang oleh UMS,” katanya.

Katanya, UMS telah mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk memperkukuh penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan empat kluster penyelidikan iaitu Kejuruteraan dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan serta Seni, M Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Ketua Menteri berkata, penubuhan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (ICMC) pada 2021 telah menjadi pemangkin dalam memudahkan pensyarah UMS mengkomersialkan inovasi mereka.

Beliau berkata, Supercharger Series 2024 merupakan inisiatif strategik yang dirangka khusus untuk memacu kerjasama, penglibatan, dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I). – Info X