Search

SPRM tahan pesara kerajaan minta, terima rasuah RM16,000

October 15, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pesara kerajaan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000 untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah di daerah ini.

Suspek berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM cawangan Tawau.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah seluas 12 ekar yang terletak di daerah Tawau.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok bagi proses pertuduhan. – Info X