KOTA KINABALU: Seorang ibu yang baru selesai bersahur, maut selepas tertimbus bersama rumahnya akibat tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Sitti Harija Norulla, 53, dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus tanah runtuh yang meranapkan sepenuhnya rumah mereka.
Seorang anak mangsa dikenali sebagai Al, 39, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kilang tidak jauh dari rumahnya.
Katanya, ketika kejadian ibu dan adiknya iaitu Zulkiman, 25, dikatakan baru selesai bersahur bersama sebelum terdengar bunyi kuat.

“Menurut adiknya, dia cuba keluar untuk memeriksa keadaan, tiba-tiba berlaku gegaran. Adik beritahu masa itu dia cuba menarik tangan ibu untuk keluar namun gegaran sangat kuat dan terus tercampak. Rumah kami pun sudah bergerak beberapa meter dari lokasi asal.
“Selepas itu, saya yang dihubungi bergegas pulang dan cuba mencarinya bersama penduduk kampung sebelum menemui ibu dalam timbunan tanah runtuh,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, dia dan penduduk kampung cuba mengeluarkan ibunya namun terlalu sukar dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.32 pagi.
Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku hakisan tanah runtuh dan menimbus sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 14 meter persegi yang musnah sepenuhnya.
“Terdapat dua mangsa terlibat dan salah seorang iaitu wanita berusia 53 tahun tertimbus dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang lagi mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja pemantauan di lokasi masih giat dijalankan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X