Search

Sambungan elektrik haram setinggan di Semporna, lelaki tanpa dokumen dipenjara dua tahun

June 10, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri elektrik melalui sambungan haram di sebuah penempatan setinggan di Semporna.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas tertuduh, Abdul Hamid Siddiq, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024).

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.


Berdasarkan peruntukan undang-undang, kesalahan di bawah Seksyen 61(1) EBE 2024 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Seksyen 61(8) pula memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata kes itu merupakan kes ketiga yang didakwa pada tahun ini membabitkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan dan yang pertama berakhir dengan hukuman penjara.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa kesalahan mencuri elektrik serta membuat sambungan haram dipandang serius kerana bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE), malah turut mengancam keselamatan awam.

“Hukuman yang dijatuhkan ini menunjukkan bahawa mahkamah memandang serius kesalahan kecurian elektrik dan sambungan haram yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity, malah boleh menjejaskan kestabilan bekalan elektrik serta mengundang risiko renjatan elektrik dan kebakaran yang mengancam keselamatan nyawa serta harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Nasser berkata, ECoS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan bekalan elektrik dan akan terus mempergiatkan operasi bersepadu bersama SE serta agensi penguatkuasaan lain.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan yang berterusan itu penting bagi membanteras kegiatan sambungan elektrik haram yang masih berlaku, khususnya di kawasan setinggan dan penempatan tidak terancang.

Katanya, mana-mana individu yang didapati terbabit dengan kegiatan berkenaan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan keselamatan sistem bekalan elektrik serta kepentingan pengguna terus terpelihara. – Info X