PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki dipercayai memelihara pelbagai spesies hidupan liar tanpa kebenaran terbongkar apabila premis miliknya di Kampung Nambazan, di sini, diserbu dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), hari ini.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi hasil kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau dokumen sah bagi pemilikan hidupan liar yang disimpan di premis berkenaan.
Antara haiwan yang dirampas ialah seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor ayam pegar Borneo (Bornean Crested Fireback), tiga ekor Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya dan seekor ular sawa batik.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti pemilikan hidupan liar tanpa kelulusan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, semua haiwan terbabit dirampas untuk tindakan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM47,500.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan permit pemilikan yang sah seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Kes kini disiasat mengikut peruntukan enakmen berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa berkaitan dalam usaha membanteras aktiviti pemilikan serta perdagangan hidupan liar secara haram.
Katanya, tindakan tegas akan terus dilaksanakan bagi memastikan khazanah hidupan liar negara sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman dan eksploitasi yang menyalahi undang-undang. – Info X