KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini bakal memberikan sesuatu yang sangat bermakna dan menjadi ingatan kepada seluruh rakyat negara ini, khususnya di Sabah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia yang ke-61 itu bakal diisi aspek atau elemen khas Hari Malaysia yang membawa mesej penting kepada rakyat.

Katanya, ia dicadangkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin ketika kunjungan hormat beliau bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew di Istana Seri Kinabalu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan aspek itu, sebaliknya menjemput orang ramai datang membanjiri Padang Merdeka Kota Kinabalu untuk menyaksikan sendiri pengisian sambutan berkenaan pada 16 September nanti.
“Sewaktu kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun Juhar pagi tadi, beliau telah menyampaikan sedikit pandangan mengenai mungkin satu aspek kepada sambutan yang beliau minta kami teliti dan cuba laksanakan.
“Jadi, insyaAllah kita sedang merencana permintaan itu, meskipun saat akhir, tapi saya rasa boleh kita lakukan,” katanya ditemui selepas meninjau tapak sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini.

Sabah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada tahun ini yang dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, selain Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin persekutuan serta negeri.
Fahmi dan Christina menjadi pengerusi bersama jawatankuasa penganjur sambutan Hari Malaysia kali ini yang julung kali diadakan di Sabah sejak pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Sementara itu, Fahmi berkata pelbagai acara yang menjadi kelaziman sambutan Hari Malaysia bakal mengisi acara pada kali ini, termasuk persembahan pentas.
Katanya, paling utama sambutan yang bermula pada jam 8.30 malam itu bakal menyemarakkan lagi semangat cintakan Malaysia dalam kalangan rakyat negara ini. – Info X