TAWAU: Seorang lelaki dipenjara sembilan tahun dan dikenakan empat sebatan selepas mengaku bersalah meliwat seorang remaja pada Mac lalu.
Tertuduh, Meruan Daud, 49, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai gunting rambut di Kampung Mentadak Baru Sungai Tamang, Pulau Sebatik, di sini, kira-kira 12 tengah hari, 11 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, mengikut fakta kes, mangsa mengenali tertuduh sejak 2011 kerana tinggal di kampung yang sama.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual sekali seminggu dengan kejadian terakhir pada 11 Mac lalu.
Hasil ujian saringan di Klinik Kesihatan Kubota menunjukkan mangsa didapati positif HIV dan mengaku melakukan hubungan sejenis dengan tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 2 April lalu. – Info X